Setiap individu inginkan keselesaan dalam kedudukan kewangan. Bagi mencapainya perlulah ada satu sistem perancangan kewangan atau sistem penggunaan kewangan yang berkesan agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik. Pengurusan kewangan masa hadapan  mencerminkan usaha-usaha yang melibatkan disiplin-disiplin tertentu untuk mengurus  sumber-sumber pendapatan serta aset supaya setiap perbelanjaan yang dibuat mendatangkan faedah atau manfaat yang optima dan dapat memungkinkan tabungan serta pelaburan yang boleh menjamin pendapatan pada masa hadapan.
Pengurusan kewangan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keutamaan dalam hidup yang mesti dikuasai. Jika pengurusan kewangan tidak dirancang, maka akan terjadilah banyak kesilapan, pembaziran, hutang lapuk, tidak stabil dan selalu tidak mencukupi. Hal ini banyak terjadi kepada individu yang selalu berbelanja dengan cara yang tidak bersistem. Aktiviti perbelanjaan harian yang tidak mengikut perancangan yang betul, di samping kegagalan untuk membezakan antara keperluan dan kehendak, mengakibatkan wang sentiasa tidak mencukupi.   Setiap dari kita atau keluarga perlu mempunyai simpanan tunai sekurang-kurangnya 50% daripada pendapatan tahunan supaya kita tidak menghadapi masalah apabila kita terpaksa berbelanja besar.  Terlalu banyak menggunakan kredit, dan  penggunaan wang “durian runtuh” secara tidak betul pula sering berlaku apabila individu bertindak berbelanja melebihi kemampuan kewangan. Kesilapan membuat andaian  terhadap kos pemilikan, kebocoran perbelanjaan, tabiat cuai ketika berbelanja serta tidak menyimpan wang dalam jumlah kecil juga antara punca masalah pengurusan kewangan yang sering dihadapi oleh seseorang. Justeru, pengurusan kewangan kewangan yang bijaksana, cekap, fleksible dan amanah merupakan pra syarat bagi menjamin kedudukan kewangan yang kukuh
Antara sebab mengapa pentingnya membuat perancangan kewangan masa hadapan termasuklah disebabkan faktor persaraan. Ramai orang menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kakitangan kerajaan juga memerima pencen selepas bersara, tetapi adakah ini mencukupi untuk menampung hidup selepas bersara? Perlu diingat bahawa kos hidup 10 tahun akan datang tidak sama dengan kos sara hidup hari ini.Contohnya, sebuah rumah yang berharga RM 100.000 hari ini mungkin akan berharga RM 148.000 dalam masa 10 tahun akan datang seandainya kadar inflasi 4% pada waktu itu.
Selain itu, peruntukan pendidikan untuk diri sendiri atau anak-anak pula menggunakan sebahagian besar daripada pendapatan seseorang. Walaupun kita bernasib baik bahawa pendidikan rendah dan menengah di negara ini adalah percuma,namun terdapat perbelanjaan lain yang harus kita fikirkan. Contohnya, yuran universiti. Bukan sahaja kos pendidikan tinggi di luar negara semakin meningkat, tetapi juga jika nilai Ringgit telah jatuh,maka akan menyebabkan pendidikan di luar negara semakin mahal. Begitu juga dengan yuran tuisyen serta perbelanjaan pendidikan lain seperti buku-buku dan alat tulis yang menelan belanja antara RM 100 hingga RM 600 sebulan.
Sesuatu yang tidak dijangka juga mungkin berlaku, dan ini boleh memberi kesan mendalam terhadap kehidupan seseorang. Perceraian atau kematian pasangan adalah sesuatu yang diluar jangkaan seterusnya kebarangkalian menjadikan seseorang itu menjadi ibu atau bapa tunggal. Begitu juga sekiranya berlaku kemalangan ,sakit teruk yang menyebabkan kita atau pasangan tidak berupaya bekerja. Kita  bukan sahaja tidak boleh bekerja,tetapi juga terpaksa berhadapan dengan bil hospital yang tinggi. Perancangan kewangan yang baik sahaja  dapat membantu menyelesaikan masalah yang timbul pada waktu itu.
Memiliki  rumah sendiri  termasuk dalam keperluan hidup seseorang. Pembelian  rumah  bukan sahaja melibatkan berapa banyak wang yang perlu dibayar pada setiap bulan tetapi memungkinkan seseorang itu harus memikirkan berapa kos sebenar yang terlibat dalam pembelian tersebut. Terdapat bayaran-bayaran lain yang dikenakan seperti duti setem,khidmat peguam dan sebagainya yang merupakan perbelanjaan tambahan apabila kita membeli rumah atau pangsapuri. Apa lagi jika melibatkan proses pengubahsuaian rumah dan sebagainya yang melibatkan kos tambahan.

Perancangan kewangan masa hadapan juga penting sekiranya kita ingin memulakan perniagaan pada suatu hari nanti. Untuk memulakan perniagaan,  kita memerlukan sejumlah wang untuk modal permulaan perniagaan. Kita juga perlu menyimpan hingga perniagaan kita mula membuat keuntungan. Sekiranya kita ingin membuat pinjaman wang daripada institusi kewangan, maka kita perlu menilai apakah jenis pinjaman yang ada dan faedah setiap pinjaman itu serta mengetahui dan menyediakan maklumat yang diperlukan oleh bank apabila kita membuat permohonan pinjaman.
Setelah mengetahui kepentingan perancangan kewangan masa hadapan  maka kita perlulah mengetahui cara-cara bagaimana untuk membelanjakan wang dengan bijak. Cara berbelanja dengan bijak bermakna berbelanja apabila perlu dan membeli barang yang perlu sahaja. Kita janganlah meminjam wang daripada sesiapapun semata-mata kerana gagal mengawal perbelanjaan. Bagi pelajar yang dapat mengawal perbelanjaan pula,elakkan daripada meminjamkan wang kepada kawan-kawan. Mereka janganlah berbohong kepada ibu bapa semata-mata kerana ingin mendapatkan wang dan jangan pula meminta sesuatu yang di luar kemampuan ibu bapa.
Seterusnya, petua untuk merancang kewangan adalah dengan memastikan kita sentiasa mempunyai wang di tangan.Ini adalah untuk mengelakkan kita daripada berbelanja sehingga wang di tangan kehabisan. Baki wang yang masih ada di tangan setelah berbelanja perlulah direkod dan disimpan di tempat yang selamat. Bank merupakan institusi penerima simpanan yang selamat di samping dapat memberi pendapatan kepada wang yang disimpan. Jadikanlah wang sebagai alat untuk menghasilkan pendapatan dan memberi hasil pulangan. Jumlah wang yang disimpan di bank akan bertambah nilainya apabila bank memberi faedah kepada simpanan tersebut.
Langkah yang paling bijak bagi seseorang untuk  memulakan  perancangan kewangan  adalah dengan merancang kewangannya dengan lebih sistematik dan berkualiti .  Pada peringkat permulaan, mulakan dengan matlamat yang khusus, boleh diukur, dicapai, releven dan ada tempoh tertentu ( specific, measurable, attainable, relevant, time releated – SMART ). Salah  satu contoh matlamat SMART ialah “ saya mahu menjelaskan hutang kad kredit saya menjelang Januari 2009 dengan bayaran bulanan sebanyak RM 150”. Ketika menentukan matlamat kewangan ini, paling baik kalau dapat melibatkan seluruh ahli keluarga. Cadangan , komitmen dan sokongan mereka amat penting dalam mencapai matlamat ini.
Langkah seterusnya, adalah menyenaraikan matlamat mengikut keutamaan iaitu dari segi kepentingan atau tempoh masa dan kemudian meletakkan senarai tersebut di tempat yang mudah dilihat setiap hari bagi membantu kita sentiasa ingat dan memberi tumpuan terhadap pencapaian matlamat tersebut.
Untuk memastikan matlamat perancangan kewangan berjalan dengan lancar  tindakan yang selanjutnya adalah menentukan langkah-langkah yang dirancang  perlu diambil dan dilaksanakan. Misalnya, jika kita merancang untuk meningkatkan tabungan bulanan sebanyak RM100 atau hendak membawa bekal ke tempat kerja, pastikan kita melakukannya.
Pemantauan pula amat perlu kerana pemantauan perkembangan sendiri secara kerap bagi memastikan matlamat perancangan kewangan kita berada pada haluan yang betul. Namun begitu, ruang perlu diberikan untuk pengubahsuaian atau perubahan jika perlu dalam perancangan kewangan tersebut. Semua matlamat kewangan atau perancangan kita haruslah dilakukan sebaiknya. Sekiranya perancangan asal tidak berlaku sebagaimana yang dikehendaki  maka jangan sesekali berputus asa sebaiknya kita perlu menggunakan “lembaran penentu matlamat kewangan” sebagai langkah awal iaitu matlamat jangka pendek (bagi tempoh setahun), matlamat jangka sederhana (bagi tempoh 1 hingga 3 tahun ) dan matlamat jangka panjang (bagi tempoh 3 hingga 5 tahun).
Untuk melaksanakan dan mencapai matlamat perancangan kewangan yang bijak dan baik memerlukan beberapa tips agar dapat mengukuhkan lagi kewangan seseorang. Pengurusan kewangan yang baik merupakan langkah yang wajib dikuasai jika sekiranya kita mahu mengukuhkan kedudukan kewangan terutama untuk masa hadapan.
Antara tips untuk mengukuhkan kewangan seseorang adalah menjadikan hobi sebagai perniagaan yang menguntungkan. Jika sekiranyan kita mempunyai hobi yang benar-benar bagus dalam melakukannya, kita mungkin boleh menggunakan hobi itu sebagai punca pendapatan. Pelajarilah tentang asas kewangan dan perniagaan di rumah,supaya kita tidak melakukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh usahawan amatur dan kehilangan modal yang dilaburkan dalam perniagaan itu. Jika semuanya berjalan dengan baik hobi boleh bertukar menjadi perniagaan yang berjaya.
Seterusnya, binalah kemahiran yang boleh dikomersialkan pada masa akan datang. Jika kita tidak mempunyai hobi yang boleh dijadikan duit, berusahalah untuk mendapatkan kemahiran yang perlu, yang boleh dikomersialkan pada masa akan datang. Jika kita tidak tahu apa kemahiran yang ada, cari sesuatu yang diminati dan bina kemahiran dalam bidang itu. Sebuah majalah pernah menyiarkan satu artikel yang menyatakan bahawa perniagaan yang berjaya lazimnya berasaskan perkhidmatan, misalnya penyediaan makanan, rawatan muka di rumah, mencuci rumah, menjahit, kerja tangan dan banyak lagi.
Mencari peluang di sekeliling kita juga salah satu tips untuk mengukuhkan kewangan. Perhatikan di sekeliling kita dan carilah perkhidmatan yang boleh disediakan untuk rakan-rakan , jiran-jiran atau saudara-mara dengan bayaran yang berpatutan. Misalnya, menjaga anak-anak kawan-kawan, membersihkan halaman jiran, memberikan tiusyen atau sebagainya. Semua perkhidmatan ini boleh dijadikan pendapatan sampingan dan boleh dilakukan di rumah sendiri. Selain itu,jika kita tidak mempunyai kemahiran atau hobi yang boleh dikomersialkan atau boleh menghasilkan pendapatan sampingan, satu lagi cara boleh dilakukan untuk mendapatkan wang ialah menjual barang-barang yang boleh dikitarkan semua seperti surat khabar, majalah dan sebagainya. Walaupun tidak seberapa, tetapi tetap merupakan merupakan pendapatan sampingan.
Wang yang diperoleh daripada titik peluh seseorang pula bukan hanya untuk dibelanjakan dan dihabiskan. Wang  yang diperoleh hasil daripada perniagaan, gaji dan sebagainya boleh dilaburkan ke tempat-tempat yang dapat memberikan pulangan yang memberangsangkan seperti pelaburan ke dalam unit  amanah, saham , hartanah dan juga perniagaan. Wang perlu diurus dengan baik kerana dengan pengurusan yang baik boleh menghasilkan wang yang lebih banyak.
Pelaburan pula ialah meletakkan wang atau dana bagi satu tempoh tertentu untuk memperoleh kadar pulangan yang dikehendaki. Pelaburan merupakan  satu cara  untuk mengukuhkan kedudukan  kewangan pada masa hadapan. Pelaburan jangka panjang sangat sesuai untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelaburan hartanah pula sama penting dengan simpanan tunai dan tiada susut nilai.
Apa pun sebarang perancangan kewangan yang berkualiti  untuk tujuan sekarang atau masa hadapan memerlukan pengetahuan serta kemahiran yang baik dan terancang. Untuk  menjadi seseorang yang celik kewangan, seseorang itu perlu menambah ilmu pengetahuan diri sendiri  serta mencari maklumat yang  serta bantuan yang berkaitan dengan pengurusan kewangan agar dapat menguruskan kewangan dengan bijak dan sistematik.
Sumber maklumat boleh diperoleh di mana sahaja merangkumi buku-buku, majalah kewangan, menghadiri seminar dan bengkel untuk pembelajaran yang interaktif berkaitan dengan pengurusan kewangan. Seseorang itu boleh mendapatkan nasihat daripada institusi kewangan berkaitan dengan pelaburan, pembelian dan penjualan sekuriti seperti saham, bon dan unit amanah. Nasihat berkaitan dengan pengurusan kewangan juga boleh diperoleh daripada penasihat kewangan seperti akauntan, perancang harta, perancang kewangan, ejen insurans, penasihat pelaburan serta ejen cukai. AKPK adalah antara  agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada April 2006 , untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kredit dan kaunseling kewangan kepada individu, serta pendidikan kewangan supaya para individu mampu mengawal kedudukan kewangan mereka. Selain itu, khidmat penasihat kewangan juga wujud untuk membantu mengenal pasti masalah supaya dapat membantu seseorang merangka pelan bagi mencapai matlamat yang kehendaki. Mereka membantu seseorang untuk memahami risiko yang berkaitan dengan pelaburan dan menyediakan khidmat nasihat pelaburan. Namun begitu, perlu diingat bahawa nasihat penasihat kewangan ini mungkin berat sebelah,dan apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik juga untuk kita. Kita perlu membuat sebarang keputusan yang bijak berkaitan dengan kewangan kerana pulangan tinggi sentiasa diiringi risiko yang tinggi. Jika kita mahu pulangan yang baik, bersedialah untuk menghadapi risiko kerugian. Kita juga sering dipengaruhi kawan tetapi perlu diingat bahawa objektif mereka mungkin tidak sama dengan objektif kita. Pandangan mereka mungkin berbeza dengan pandangan kita. Juga sumber mereka mungkin tidak boleh dipercayai. Oleh itu, enam perkara yang perlu diingat adalah jangan menerima sahaja sebarang nasihat. Fahami sepenuhnya ciri-ciri sesuatu pelaburan serta fahamilah kesan-kesan daripada setiap keputusan yang berkait kewangan. Jangan sesekali melaburkan semua wang dalam satu pelaburan dan dapatkanlah nasihat secara bertulis. Seterusnya, yang penting nilailah kedudukan kewangan dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Kesimpulannya dalam merancang kewangan masa hadapan, perkara  yang paling utama yang perlu kita miliki ialah ilmu. Ilmu itu  boleh kita timba samada melalui pembacaan buku-buku, majalah, menyertai kursus dan bengkel yang berkaitan atau melayari forum, blog atau website yang menyediakan maklumat-maklumat berguna yang berkaitan dengan pengurusan dan kebebasan kewangan. Sebagaimana yang diterangkan dalam Model SSW (Shuth Strategy of Wealth), keseimbangan antara elemen ilmu dan kemahiran adalah penting dalam pembentukan piramid kekayaan dan jalan menuju kebebasan kewangan ( financial freedom).  Kemahiran akan  diperoleh setelah sesuatu perkara dilakukan secara berulang kali. Kemahiran ini merupakan output yang terhasil selepas melalui beberapa proses pengalaman, pengamatan dan pembacaan. Sepertimana  yang pernah diperkatakan oleh Shuth, ”Selain dari seimbang ,ia juga bermula dari sedikit dan kemudiannya bertambah dan meningkat dari semasa ke semasa, selari dengan peningkatan tahap kewangan anda. Semakin tinggi tahap kewangan anda, semakin banyak ilmu dan kemahiran diperlukan”
)
Disediakan oleh:
Pn.Norma binti Ya@ Zakaria.
Pemenang hadiah kedua Pertandingan Esei Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan 2008 (Kategori Guru&Pensyarah)